Success Quotation

Nothing can stop the man with the right mental attitude from achieving his goal; nothing on earth can help the man with the wrong mental attitude.
Thomas Jefferson

Tuesday, October 26, 2010

PERHIMPUNAN PAGI UNIT BERUNIFORM PERINGKAT IPG KAMPUS RAJANG 2010

TARIKH : 27 OKTOBER 2010
TEMPAT : HADAPAN DEWAN SRI RAJANG
MASA : 0700 PAGI - 0725 PAGI


LAPORAN KEKUATAN PLATUN SETIAP UNIT BERUNIFORM

Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia


Persatuan Pengakap Dan Persatuan Tunas Kadet Remaja Sekolah


Bacaan Doa Dan Amanat Ketua Unit Kokurikulum

PERBARISAN SETIAP UNIT BERUNIFORM



PENERIMAAN SIJIL PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM 2010

Sunday, October 24, 2010

UNIT KOKURIKULUM

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS RAJANG

96509 BINTANGOR

……………………………………………………………………………………………………………………………….

LAPORAN PENGURUSAN KOKURIKULUM KPLI JANUARI 2010

……………………………………………………………………………………………………………………………….

Tahniah kerana anda berjaya menjalani praktikum yang baru sahaja berakhir. Sudah pasti banyak pengalaman yang anda perolehi dan akan menjadi bekalan sebagai seorang bakal guru idola khasnya dalam bidang kokurikulum.

Soalan 1.

Huraikan apa yang anda faham tentang pengurusan kokurikulum, sukan permainan, olahraga, dan unit beruniform di IPG Kampus Rajang. Maklumat anda termasuklah penglibatan diri anda serta sejauh mana ilmu yang anda dapat semasa di IPG Kampus Rajang memberi keyakinan untuk anda semasa menjalani praktikum yang lepas.

Soalan 2.

Huraikan peranan dan penglibatan anda dalam bidang kokurikulum di sekolah semasa praktikum. Adakah pengetahuan anda sudah mencukupi atau sebaliknya dengan menjelaskannya berdasarkan pengalaman-pengalaman nyata yang berkaitan di sekolah.

Soalan 3.

Bagaimanakah pengalaman dalam bidang kokurikulum di IPG Kampus Rajang dan pengalaman di sekolah (praktikum) dapat membantu anda yang akan menjadi guru permulaan di sekolah pada tahun hadapan? Huraikan kelebihan dan kekurangan ilmu anda serta cadangan untuk kebaikan semua pihak.

Arahan : Tugasan individu(hard copy-perlu ‘binding,),Soft copy: masukkan dlm cd mengikut kump.kuliah, tiada had jumlah patah perkataan, masukkan gambar-gambar berkaiatan,hantar pada 21.10.2010 kepada En.McNair Kudang(0194686156) melalui Ketua Kumpulan.

http://www.unitgergo-rajang.blogspot.com

Thursday, October 21, 2010

365 HARI PERTAMA DI KAMPUS RAJANG Suara Rasa Timbalan Pengarah


Assalamualaikom warohmatullah hiwabarokatuh dan salam sejahtera.

Y.Bhg. Tuan Pengarah, Ketua Jabatan, Ketua Unit, para pensyarah, staf sokongan dan guru pelatih yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah subhanahuwataalla dengan limpah kurnia-Nya dapat saya menggerakkan jari jemari saya sekali lagi untuk menukilkan sesuatu dalam 365 Hari Pertama Di Kampus Rajang sebagai catatan dan renungan diri saya sendiri. Catatan ini adalah kesinambungan dari catatan 100 Hari Pertama saya di Kampus Rajang. Catatan ini juga saya titipkan untuk tatapan sejenak warga Kampus Rajang, Bumi Kenyalang yang saya sayangi. Di sini saya masih mengulangi kata-kata ”Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Kata-kata tersebut bagi saya amat penting sebagai warga Malaysia dan penjawat awam kerana tanpa kata-kata ini hati saya seolah-olah hilang rasa bangga berkhidmat di Bumi Kenyalang dan sedar siapa diri saya yang sebenarnya.

Dengan izin Tuan Pengarah jua saya memohon kebenaran dan ampun maaf sekiranya catatan 365 hari pertama ini tidak membawa sebarang impak kepada seluruh warga kampus. Sesungguhnya setiap insan diberi kekuatan oleh Tuhan untuk bergerak di atas muka bumi ini untuk merencanakan dan melaksanakan sesuatu yang dapat memberi manfaat atau impak kepada dirinya sendiri dan orang lain. Bagi saya luahan rasa ini sangat penting bagi kita menzahirkan apakah pandangan atau pendapat yang boleh menjadi panduan atau iktibar sama ada yang baik maupun yang buruk. Sesuatu kebaikan dan keburukan yang berlaku ada hikmah di sabaliknya. Sesuatu kekuatan atau kelemahan itu adalah petunjuk daripada Allah. Dia yang berhak menentukan perjalanan hidup kita di muka bumi ini.

Pertama, apabila saya mengimbas kembali hari-hari yang saya lalui selama 365 hari pertama, banyak kenangan manis berbanding kenangan pahit. Betapa indahnya perjalanan hidup ini bersama pengarah, para pensayrah, staf sokongan dan guru pelatih yang saya sayangi. Tidak terasa bahawa kembara setahun begitu pantas berlalu. Tidak terasa dek keramahan, keseronokan bekerja dan hubungan yang amat intim antara saya dengan warga Kampus Rajang. Benarlah apa yang saya amalkan ’menjadi’... Senyum untuk semua orang”. Bagi saya senyuman seorang guru bergelar pendidik itu amat penting. Di sinilah kita melihat watak guru sejati dan memiliki roh guru yang boleh dicontohi. Guru tersenyum murid tersenyum. Maka lahirlah ikatan mesra antara guru dan murid. Murid lebih seronok belajar dengan guru yang sentiasa ceria dan tersenyum berbanding dengan guru yang garang dan masam mukanya. Senyuman guru bak mutiara yang memberi makna dalam kehidupan murid di sekolah. Senyuman juga merupakan pengikat murid suka atau minat datang ke sekolah dan belajar dengan gurunya di bilik darjah. Sesungguhnya senyuman itu amat berharga bagi mengerat dan mengukuhkan semangat kekitaan, hubungan silaturrahim, rasa toleransi, muhibah, dan semangat setiakawan sejati. Alhamdullillah, selama 365 hari pertama saya seronok berkhidmat di Kampus Rajang.

Kedua, saya melihat para pensyarah, staf sokongan dan guru pelatih Kampus Rajang mempunyai kemampuan dan kekuatan bagi menggarap kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan. Memang benar warga Kampus Rajang amat istimewa bagi saya kerana walaupun bilangan warganya kecil tapi masih mempunyai sinergi dalam menggarap agenda besar seperti Pertandingan Drama Ketua Menteri dan Seminar Seni Lakon dalam Pendidikan Zon Sarawak yang diadakan di Dewan Suarah Sibu pada September 2010. Saya yakin dan percaya peranan Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua Unit menggerakkan anak buahnya sangat penting. Di sinilah kita memerlukan karisma sebagai seorang pemimpin bagi memimpin, menggerak, mendorong, menunjuk ajar dan sebagainya demi ”MEMBINA KEKUATAN, KECEMERLANGAN DAN PENGIKTIRAFAN”. Karisma ini sangat penting kerana memimpin sesebuah organisasi perlu ada kekuatan dan kekuatan itu terletak pada hati dan akal fikiran kita. Justeru, hati dan akal fikiranlah yang menentukan bagaimana kita bertindak sama ada positif atau negatif. Gerak hati kita juga menentukan cara kita berfikir secara positif atau sebaliknya. Soal hati amat penting dalam kita menjalankan tugas rutin sama ada sebagai pengurus, pemimpin, ketua jabatan, ketua unit, pensyarah atau sebagai staf sokongan maupun pelatih. Apabila hati kita bersih, ikhlas, amanah dan ada rasa tanggungjawab, maka segala tugas yang diberi dapat digarap dengan sempurna dan sebaik mungkin.

Sekiranya kita sebagai pemimpin tidak mempunyai daya pujuk yang tinggi, rasa kemanusiaan yang tinggi dan berjaya menpegaruhi orang yang dipimpin, maka kita tidak akan dapat memimpin orang bawahan kita dengan baik dan berkesan. Sehubungan dengan itu, karisma kepimpinan tuan-tuan sebagai Ketua Jabatan dan Ketua Unit amat penting semasa menjalankan tugas. Bagi saya marilah bekerja bersama-sama demi Kampus Rajang dan bukan bekerja untuk individu tertentu. Saya percaya dengan amalan bekerja bersama-sama dapat meletakkan tapak asas sesebuah organisasi yang lebih kukuh, mantap dan cemerlang. Saya petik kata-kata Ken Blanchard dalam buku The Heart of a Leader menyatakan, ”Leaders need to come from behind their curtains of infallibility, power, and control, and let their ’very good’ side - their humanity - be revealed.” Begitu juga Winston Churchill menyatakan, ”Never ! Never ! Never ! Never Give up”. Justeru sebagai pemimpin sesebuah organisasi perkara yang amat penting adalah ”walking your talk” bagi merealisasikan komitmen dan membuat tindakan serta keputusan secara konsisten tanpa dipengaruhi oleh pihak lain, sentimen dan prasangka. Oleh yang demikian sesorang pemimpin perlu ”Think Big ! Act Big ! Be Big!” bagi menerajui sesebuah organisasi.

Bukan mudah menjadi seorang pemimpin kerana sebagai pemimpin perlu memikirkan banyak perkara seperti bagaimana hendak menjayakan visi, misi, hala tuju dan perancangan strategik sesebuah organisasi, di samping memikirkan juga kebajikan subordinat di bawah kawalannya. Bak kata Ken Blanchard lagi, ”Leaders today must have a strong vision and positive beliefs that support that vision. A clear vision is really just a picture of how things would be if everything were running as planned. The most powerful dream a leader can have is a vision of perfection.” Bagi pendapat saya, ’vision of perfection’ ini jelas terjelma dalam gerak kerja dan tadbir urus Tuan Nicholas Ugul dan Tuan Raymond Gai Panting @ Gaie di kampus ini. Bagi Tuan Nicholas, beliau sering menyarankan tetang ’perfection’ dan ada yang menggelar beliau ’Mr. Perfect”. Barangkali benar kata-kata para pensyarah tentang gelaran tersebut kepada mantan pengarah dahulu kerana beliau mementingkan ’kesempurnaan’ yang mutlak. Manakala Tuan Raymond Gai Panting @ Gaie, saya melihat beliau seorang pemimpin ’berjiwa rakyat’. Pemimpin yang suka turun padang melihat pemasalahan yang berlaku secara lebih dekat. Beliau seorang yang cepat mesra, pandai bergurau dan amat prihatin dengan kebajikan warga Kampus Rajang. Apa yang saya lihat dan alami beliau cepat mesra dengan sesiapa. Pada pandangan saya, beliau mempunyai visi, misi dan hala tuju yang amat jelas iaitu membawa IPG Kampus Rajang ke persada yang lebih cemerlang dan dikenali ramai. Pernyataan visi dan misi beliau sering dizahirkan dalam perjumpaan-perjumpaan dan mesyuarat yang beliau pengerusikan bersama Ketua Jabatan dan Ketua Unit.

Ketiga, kekuatan warga Kampus Rajang sebenarnya adalah terletak dan bergantung kepada pucuk pimpinan yang memimpin organisasi. Berdasarkan pengalaman saya bertugas di bawah Tuan Nicholas Ugul dan Tuan Raymond Gai Panting @ Gaie saya berasa seronok, walaupun kedua-dua pengarah ini mempunyai gaya kepimpinan tersendiri. Yang penting kedua-dua mempunyai visi, misi dan hala tuju yang jelas untuk membawa Kampus Rajang mengikut landasan yang betul ke arah ”MEMBINA KEKUATAN, KECEMERLANGAN DAN PENGIKHTIRAFAN”. Saya banyak mendapat pengalaman pengurusan daripada Tuan Nicholas Ugul kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam tadbir urus sama ada di Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, PPD dan sekolah. Saya kagum dengan karisma dan kewibawaan beliau mengurus dari sebuah institut yang dahulunya kurang menyerlah dari segi keceriaan persekitaran, infrastruktur dan lain-lain, namun hasil usaha gigih beliau, Kampus Rajang semakin terserlah dari segi kebersihan dan keceriaan bangunan dan kawasan. Inilah legasi Tuan Nicholas Ugul dalam pembangunan fizikal Kampus Rajang dapat kita banggakan dan sanjungi. Saya berharap Tuan Raymond Gai Panting @ Gaie dapat meneruskan legasi Tuan Nicholas Ugul supaya Kampus Rajang dikenali bukan saja dari segi keceriaan kampus dan kehebatan tadbir urusnya tetapi menjangkau lebih jauh iaitu dari segi kehebatan para pensyarahnya, Ketua Jabatan, Ketua Unit, staf sokongan dan guru pelatihnya. Penandaarasan ke arah ”MEMBINA KEKUATAN, KECEMERLANGAN DAN PENGIKHTIRAFAN” perlu didokong, difahami, dihayati, diterjemah dan diamalkan supaya kecemerlangan dari segi kesarjanaan itu dapat dilihat dari masa ke masa di mana kita dapat menonjolkan slogan Rajang Boleh! ”.

Keempat, kekuatan warga Kampus Rajang kerana memiliki matlamat yang jelas. Bak kata Ken Blanchard lagi, ” All good performance starts with clear goals”. Saya berkata demikian kerana berdasarkan pemerhatian, pengalaman dan berkomunikasi sama ada secara formal atau tidak formal, saya dapat merasakan bahawa warga Kampus Rajang tahu ke mana arah dan matlamat yang hendak dituju. Para pensyarah, staf sokongan dan guru pelatihnya amat komited dengan visi dan misi IPG Kampus Rajang. Apa yang penting cara pemimpin memotivasi subordinatnya dan memastikan mereka tahu ke mana arah mereka akan pergi. Di sini saya dapat mengamati, mengesan dan menterjemahkan bagaimana En. Raymond Gai Panting @ Gaie memotivasikan para pensyarah, staf sokongan dan pelatih supaya jelas tentang apa yang dikatakan sebagai ’good performance’ dan ’good player’. Sehubungan dengan itu, semua warga Kampus Rajang telah diberi penjelasan tentang fokus ke arah membina kekuatan, kecemerlangan dan pengiktirafan. Contoh terbaik ialah para pensyarah, staf sokongan dan pelatih melaksanakan watak pemain yang hebat ketika Kampus Rajang menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Drama Ketua Menteri Sarawak dan Seminar Seni Lakon Dalam Pendidikan peringkat Zon Sarawak di Dewan Suarah Sibu. Warga Kampus Rajang Boleh! Rajang boleh memikul tanggungjawab yang berat yang diamanahkan oleh Ketua Menteri bagi mengendalikan dua agenda penting. Dengan sinergi yang ada, IPG Kampus Rajang meraih tempat sebagai Naib Johan Pertandingan Drama Piala Ketua Menteri, dan pelakon kita meraih sebagai Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Pensyarah Rajang, En. Wan Mohd. Madehi, Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan juga meraih sebagai penulis skrip drama terbaik.

Nah! Apa lagi yang kita mahukan. IPG Kampus Rajang perlu kita junjung dan julang hingga ke puncak angkasa. Sebab itu saya berani bercakap. Rajang Boleh! Rajang Boleh! Rajang Boleh! Dengan titipan dan tiupan semangat juang tinggi, daya saing yang hebat dan daya tahan yang berkekalan warga Kampus Rajang boleh menaikkan dan melonjakkan imej IPG Kampus Rajang bukan sahaja sekarang tetapi pada masa akan datang. Percayalah! Saya percaya warga Kampus Rajang kalau disuntik semangat dan dijentik minda, saya pasti dan yakin Kampus Rajang boleh memimpin orang lain dalam pelbagai aspek. Bagi saya keyakinan ini amat berasas setelah saya berada selama 365 hari pertama di Kampus Rajang yang cukup istimewa dalam diri saya. Walaupun kampus ini terletak di kawasan luar bandar, namun lokasi bukan ukuran bagi penandaarasan untuk kita mengukur maju mundurnya sesebuah institusi atau organisasi tetapi bergantung kepada pemimpin dan warga yang dipimpin serta kerjasama yang padu, mantap dan sederap!

Kelima, saya mengharapkan supaya para pensyarah dapat meningkatkan ketajaman pemikiran ke arah merealisasikan impian bagi melonjakkan IPG Kampus Rajang di mata masyarakat dan institusi pengajian tinggi yang lain, sebagaimana kehendak Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Sesungguhnya, impian-impian itu tidak akan tercapai, sekiranya kita sebagai insan tidak dapat melihat, menghayati dan menterjemahkan apa yang telah kita rancang dan laksanakan bagi menonjolkan Kampus Rajang pada masa kini dan akan datang. Saya berharap sebagai warga Kampus Rajang, kita dapat membentuk diri kita, sikap kita dan jati diri kita sama ada sebagai pensyarah, staf sokongan dan pelatih Kampus Rajang. Segala kerja yang kita garap adalah sangat releven dengan dunia pengurusan dan pendidikan bagi melahirkan guru permulaan yang terbaik dari ”kilang” IPG Kampus Rajang. Saya masih ingat kata-kata Tan Sri Dr. Zulkornain Hj. Awang, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia dalam satu kursus kepimpinan pendidikan di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.. Beliau mengatakan 27 buah IPG yang ada di negara ini diumpamakan sebagai kilang membuat enjin kereta. Jika enjin kereta yang dihasilkan oleh sesebuah kilang itu baik, maka ramailah orang membeli kereta tersebut. Begitu juga dengan sesebuah IPG yang berjaya melatih bakal guru akan menjadi terkenal kerana kehebatannya melahirkan guru yang hebat, cemerlang, menjadi ’role model’ dan mempunyai nilai tambah. Jika boleh, kita lahirkan ramai guru yang memiliki ’faktor X’ dalam kalangan guru pelatih IPG Kampus Rajang. Kita juga mesti bercita-cita besar bagi melahirkan ramai ’sarjana’ di kampus ini. Justeru untuk melahirkan sarjana dan kesarjanaan, maka Kampus Rajang perlu memperbanyakkan penyelidikan dan inovasi, penulisan, penerbitan, pembentangan kajian ilmiah dalam seminar dan menjadi pakar rujuk dalam bidang pedagogi kepada pihak lain. Barulah kita dapat mengangkasakan IPG Kampus Rajang!

Saya juga berasa IPG Kampus Rajang dapat membina citra yang tersendiri walaupun kampus ini terletak di luar bandar. Banyak petunjuk yang saya lihat dan alami sendiri bahawa warga Kampus Rajang boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang bukan sahaja di peringkat kampus tetapi di luar kampus seperti menjadi tuan rumah Pertandingan Drama Piala Ketua Menteri dan Seminar Seni Lakon Dalam Pendidikan Zon Sarawak 2010. Rajang Boleh! Kini telah diiktiraf oleh Pengarah sendiri bahawa pengelolaan tersebut pada tahap cemerlang! Bagi saya, ’buat yang terbaik’ dan amalkan budaya bekerjasama atau kolaborasi sesama warga Kampus Rajang yang lain. Saya berharap dalam melaksanakan tugas harian kita dapat menjalankan tugas dengan berhemah, berintegriti dan akauntabiliti. Sehubungan dengan itu, sesebuah organisasi yang mantap adalah bergantung kepada sikap, nilai dan budaya yang diamalkan oleh warganya.

Keenam, selama berada 365 hari pertama di Kampus Rajang, saya bangga dengan kebersihan, keceriaan dan keselamatan (3K) masih dapat dipertahankan, walaupun masih ada beberapa aspek yang perlu dibaiki. Harapan saya kepada guru pelatih yang tinggal di asrama dapat memberi kerjasama bagi memelihara kebersihan dan keceriaan asrama. Jangan membuang sampah merata-rata. Jadikan asrama anda tempat yang paling istimewa dan selesa untuk didiami. Patuhilah peraturan asrama yang sedia ada kerana anda akan menjadi pendidik yang berpegang kepada etika perguruan. Guru pelatih juga mesti rajin membaca buku-buku yang berkaitan dengan motivasi, kaunseling dan kepimpinan. Buku-buku tersebut amat penting kepada guru pelatih apabila menjadi guru di sekolah. Belajarlah bersungguh-sungguh dan terus belajar sehingga mendapat ijazah kedoktoran.

Saya juga berharap gotong royong yang dijalankan bersama-sama Pengarah dan warga kampus dapat menyemarakkan kesedaran betapa pentingnya nilai , budaya dan perubahan sikap supaya cintakan kebersihan. Bak kata En. Raymond Gai Panting @ Gaie, Pengarah IPG Kampus Rajang dalam satu perhimpunan bulanan (6 Oktober 2010), beliau menyatakan melalui gotong royong yang akan diadakan pada 29 Oktober 2010 akan dapat memupuk semangat kerja berpasukan. Beliau berharap dalam melaksanakan tugas secara berpasukan ini tiada lagi halangan terjadi dalam kalangan warga Kampus Rajang. Beliau menyarankan supaya lupakan soal kedudukan dan pangkat tetapi dalam mengarap tugas kita perlu ada ’team driven’, ’vision driven’ dan ’suggestion driven’ kerana pada pandangan beliau semua orang adalah penting.

Kehebatan Kampus Rajang ini bukan didokong oleh para pensyarah saja tetapi disokong oleh staf sokongan yang banyak membantu kelancaran urus tadbir dari semu aspek. Tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan yang banyak membantu saya semasa saya berkhidmat di Kampus Rajang. Ramah mesra, tawa hilai tuan-tuan semasa berinteraksi dan berkomunikasi menjadi inspirasi saya berkhidmat dengan lebih baik. Saya cuba melaksanakan yang terbaik untuk tuan-tuan dan puan-puan. ”Selagi hayat dikandung badan.” Saya juga berharap, para pelatih Kampus Rajang dapat menunaikan bakti kepada institut ini dan Bumi Kenyalang sebagaimana kita menyanyi, memahami lirik lagu, menghayati patah-patah perkataan dan mengamalkan apa yang terkandung dalam lirik lagu Rajang Berbakti dan Ibu Pertiwiku. Bagi saya, ”Benih yang baik, jika di buang ke laut menjadi pulau”. ”Jika dibuang ke darat menjadi gunung.” Natijah daripada itu, saya pasti seseorang guru yang cemerlang itu, jika diletakkan di mana-mana sekalipun akan menjadi guru cemerlang. Saya percaya, kalau kita bangga menjadi guru dan kerja guru adalah ’periuk nasi’ kita, maka sewajarnya kita memahami, menghayati, mengamalkan watak, etika dan profesionalisme keguruan dalam hati kita.

Akhir sekali saya mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada En. Raymond Gai Panting @ Gaie, Pengarah IPG Kampus Rajang, Ketua Jabatan dan Ketua Unit yang dedikasi, para pensyarah, staf sokongan dan para pelatih yang sentiasa menjadi inspirasi saya di sini. Sepuluh jari memohon maaf sekiranya dalam coretan 365 Hari Pertama Di Kampus Rajang : Suara Rasa, terdapat ungkapan kata yang menyinggung perasaan mana-mana pihak. Tujuan saya menulis adalah untuk catatan sejarah dan muhasabah diri saya sendiri, manakala selebihnya untuk warga Kampus Rajang. Untaian pantun jua saya titipkan buat kenangan semua.

IPG Kampus Rajang nama diberi,

Hidup aman hormat-menghormati,

Integriti, akauntabiliti, citra diri;

Membakar semangat terus berbakti.

Anak dara menjolok kuini,

Kuini di jolok di tengah hari,

Andai kasih terlerai di sini;

Kupohon ampun mengundur diri.

Yang baik itu semuanya daripada Allah dan yang buruk itu adalah atas kelemahan saya sendiri.

Wabillahhitaufik Walhidayah Wassalamualaikom Warroh Matullahhiwabarokatuh.

Sekian. Terima kasih.

Wednesday, October 20, 2010

Pertandingan Kawad Kaki Unit Beruniform Peringkat Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang 2010

Tarikh : 20 Oktober 2010
Tarikh : Gelanggang Bola Keranjang IPG Kampus Rajang
Penyertaan : Kadet Remaja Sekolah
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia
Persatuan Pengakap
Persatuan Pandu Puteri













Wednesday, October 13, 2010

Tuesday, October 12, 2010